Tuesday, September 1, 2009

Tazkirah Ramadhan : Istiqamah Dalam Ibadah Harian?

Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus (Siratol Mustaqim), iaitu jalan yang lurus tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan Allah SWT..

Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah, kerana iman adalah asas kepada keutuhan istiqamah, tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah dalam diri seorang muslim.



Istiqamah atau boleh juga disebut makna yang hampir dengannya iaitu iltizam (komited) dengan Islam yang membawa maksud, pelaksanaan aspek dan konsep agama yang dilakukan oleh seorang muslim dengan memelihara hubungan intimnya dengan Allah SWT selaku Pencipta.

Dengan kata lain, istiqamah itu ialah segala tindakan dan tingkah laku muslim bagi merealisasikan makna Islam, iaitu menyelamatkan bangsa manusia atau penyerahan diri mereka hanya kepada Allah dengan sebenar-benarnya menerusi pengamalan agama dalam segenap bidang kehidupan, kepercayaan (akidah), peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia.

Begitu juga dengan masyarakat umat Islam dikatakan sebagai umat yang beristiqamah dengan Islam, apabila melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah mereka, kepercayaan, peribadatan, perlakuan, perhubungan dan pergaulan sesama umat Islam dan manusia sejagat tanpa terikat kepada musim tertentu, sebagai contoh, seorang muslim yang beristiqamah tidak menunggu untuk ke rumah pada bulan Ramadan, malah setiap bulan itu adalah bulan yang dikhususkan untuknya beribadat kepada Allah.

Begitu juga dengan amal ibadat di bulan Ramadan, bukan hanya pada awalnya saf-saf solat dipenuhi dengan para jemaah, tetapi pada pertengahan dan penghujung Ramadan sepi dengan orang yang sama memenuhi ruang-ruang masjid atau surau sebelum dan selepas Ramadan, yang tidak beristiqamah akan merasa gelisah dengan Ramadan lambat untuk melabuhkan tirainya, sikap seumpama ini tidak pernah wujud dalam diri para sahabat baginda Rasulullah s.a.w.

Semakin hampir menjelang Aidil Fitri, semakin gelisah dan jelas tergambar di raut wajah mereka kesedihan kerana Ramadan akan meninggalkan mereka, peluang untuk memperolehi bonus amalan di malam-malam terakhir yang terdapat padanya Lailatul Qadr sudah sampai ke penghujungnya, terdapat di antara mereka yang menangis kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya.

Peluang yang ada pada malam-malam terakhir Ramadan, diisi dengan aktiviti pengabdian diri kepada Allah SWT seperti Qiyamullail meliputi pelbagai jenis solat, tadarus al-Quran meliputi diskusi isi-isi kandungannya, beriktikaf, berzikir dan bermacam-macam lagi tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai manusia biasa di siang hari.

Persoalannya di sini, di mana diri kita dengan para sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka telah buktikan istiqamah yang mantap dan menyeluruh bagi meraih keredaan, kita pula bagaimana?

Tanda atau bukti istiqamah

*Bukti istiqamah itu telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah al-An’am yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”.

*Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi perutusan kejadian manusia, perkara ini telah disebut oleh Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku”.

*Selain itu, istiqamah juga diertikan sebagai menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan pasrah dan bersungguh-sungguh, hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak pula bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka”.

Justeru, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beristiqamah dengan amalan Islam, atau hanya berpura-pura atau menerima Islam separuh-separuh ataupun menerima Islam apabila sesuai dengan naluri, dengan kata lain, Islam tunduk pada kehendak kita, bukannya kita yang patut tunduk dan akur kepada segala ajaran Islam.




Penjelasan tanda beistiqamah dengan Islam

Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa, istiqamah itu dapat dikenal pasti menerusi penyerahan diri muslim pada perkara yang zahir dan batin.

Dalam perkara zahir, seorang muslim itu melaksanakan segala perintah Allah yang wajib ditunaikan seperti pelaksanaan ibadat solat, puasa, haji, zakat, memakai hijab (tudung kepala) bagi muslimat, berakhlak mulia dan lain-lain.

Sementara dalam perkara batin pula, seorang muslim itu wajib beristiqamah dengan aspek ketuhanan dalam mentauhid (mengesakan) Allah, bertakwa kepada-Nya, takut kepada ancaman dan hukuman-Nya, mengharapkan keampunan dan rahmat hanya daripada-Nya dan banyak lagi.

Justeru menurut para ulama’, jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.

Jalan terbaik untuk mengekalkan istiqamah dengan Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah, ia menepati seruan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Allah, di waktu pagi dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan (habuan) kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsu, sesungguhnya urusan hidup mereka telah melampaui batas”.

Mudah-mudahan, kita mampu dan boleh berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, isteri, anak-anak, adik-beradik, terlebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beristiqamah dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.




Merdeka Daripada Jajahan Hawa Nafsu

Kota Mekah telah mencapai kemerdekaan daripada kafir Quraisy pada tahun ke-8 hijrah. Semua berhala di sekitar Kaabah dimusnahkan. Mekah telah bebas daripada jajahan syaitan. Semasa mengerjakan Haji Wada (haji terakhir), Rasulullah telah bersabda, “Ingatlah, sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk disembah di negerimu ini selama-lamanya tetapi dia akan ditaati dalam amal perbuatanmu yang menjadikan kamu hina, dia lalu senang kepadanya.”[1] Kita telah sedia maklum, satu-satunya cara syaitan dapat mempengaruhi amal perbuatan manusia adalah melalui hawa nafsu.

Di dalam surah An-Nisa ayat 118 hingga 119 Allah telah menceritakan azam syaitan, “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku); Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka …..” Di dalam ayat ini, syaitan telah mula menyuruh-nyuruh dan memerintah pengikutnya. Menurut HAMKA di dalam Tafsir Al-Azhar, mereka akan menurut kehendak syaitan sehingga kemerdekaan peribadi mereka tidak ada lagi. Segala tingkah laku adalah di bawah perintah hawa nafsu yang dirasuk syaitan.

Di dalam Surah Al-Furqan ayat 43 dan 44, Allah telah menceritakan rupa buruk manusia yang telah dijajah oleh hawa nafsu sendiri. Mereka disifatkan seperti binatang. Firman Allah, “Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.”

Rasulullah telah mengajar cara-cara memerdekakan diri daripada jajahan hawa nafsu 1400 tahun yang lalu. Di dalam sebuah riwayat, Rasulullah telah berkata, “Seorang Mujahid (orang yang berperang) adalah orang yang memerangi dirinya sendiri”[2] Peperangan dengan diri yang dimaksudkan adalah peperangan menentang hawa nafsu. Berkata Said Hawwa di dalam Al-Asas Fit Tafsir, “Secara dasarnya melawan nafsu bermaksud menundukkan nafsu supaya mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara.” [3]

Jalan terbaik melawan hawa nafsu adalah dengan bermujahadah dan cara paling mudah untuk bermujahadah adalah dengan menitik-beratkan ibadat-ibadat asas setiap hari.

Menurut Dr Danial Zainal Abidin di dalam bukunya 7 Formula Cemerlang, “Ibadah yang ditetapkan agama mempunyai unsur-unsur mujahadah. Solat yang khusyuk, sebagai contoh, mampu membersihkan hati dan mencegah individu daripada perbuatan keji. Solat subuh membantu individu melawan nafsu tidur yang berlebihan. Puasa memberikan kekuatan pada invididu yang mengawal nafsu makan, minum dan seks. Zakat membersihkan hati daripada penyakit tamak haloba. Pencarian ilmu melemahkan nafsu yang sukakan kesenangan dan kerehatan dan begitu seterusnya. Mujahadah adalah jambatan takwa.”[4]

Mudah-mudahan Hari Kemerdekaan kali ini akan mengingatkan kita kemerdekaan menentang penjajah hawa nafsu dan usaha membebaskan diri dari neraka Allah. Mudahan-mudahan Ramadhan kali ini akan menjadi platform untuk kita bermujahadah.





Rapuhnya nilai akhlak manusia masa kini

Islam satu-satunya agama (cara hidup) yang diperakui oleh Allah SWT yang diperuntukkan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia serta makhluk yang lain.

Islam yang menjadi mercu tanda kegemilangan di zaman Rasulullah s.a.w, kemudian disambung oleh para sahabat nabi, setelah itu diperpanjangkan oleh sistem pemerintahan Islam seperti pemerintahan Bani Umaiyah, 'Abbasiyyah sehinggalah ke era pemerintahan Islam 'Othmaniyyah di Turki.

Matlamat utama penubuhan negara Islam tersebut adalah untuk merealisasikan tuntutan agama menerusi al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi matlamat tersebut lenyap dengan berakhirnya negara Islam di Turki yang jatuh ke tangan British menerusi pengkhianat Islam iaitu Mustafa Kamal Atarturk. Di mana beliau menjadi dalang untuk melihat Islam dikikis dari bumi Turki.

Ini bermakna umat Islam hari ini di seluruh dunia kehilangan kepimpinan Islam dan mereka amat dahagakan kepimpinan tersebut, kerana teori barat ataupun isme ciptaan manusia yang sudah lama bertapak sejak puluhan malah ratusan tahun tidak mampu menjadikan manusia sebagai insan yang bertamaddun dalam segenap tindak-tanduk mereka..

Ini dapat dilihat kerakusan manusia dalam pentas dunia, meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa, seolah-olah menggambarkan pihak yang kuat dan lantang menguasai yang lemah.

Kekuatan teknologi dan senjata nuklear menentukan segala-galanya, pengguguran bom di bumi Hiroshima dan Nagasaki membuktikan tindakan yang kejam.

Pencabulan Israel pada awal 80an di Sabra dan Shatila yang mengorbankan banyak nyawa, serangan Soviet Union (sekarang Russia) dan yang terkini serangan kuasa besar Amerika Syarikat ke atas bumi Afghanistan kononnya memerangi pengganas, sehingga ke hari ini Amerika tidak mampu mengemukakan sebarang bukti yang nyata bahawa Osama Bin Laden bertanggung- jawab memusnahkan bangunan Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon yang dikenali dengan peristiwa 11 september.

Peristiwa 11 September itu, seolah-olah dilihat sebagai batu loncatan buat Amerika untuk bertindak atas slogan hak asasi manusia. Akibatnya orang tua, wanita, kanak-kanak serta harta benda awam musnah hasil bedilan bom tercanggih Amerika. Ini juga menggambarkan seolah-olah bumi Afghanistan medan raptai segala ciptaan nuklearnya.

Amerika yang dianggap dunia sebagai sebuah negara maju dalam segenap bidang hidup, antaranya pencapaian teknologi maklumat, ekonomi,hiburan dan lain-lain, namun tidak mampu membendung jenayah di wilayah Amerika yang berlaku setiap detik seperti yang dilaporkan oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Hollywood yang mengaut keuntungan luar biasa hasil penjualan filem, dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada terhakisnya nilai akhlak di kalangan manusia sama ada Islam dan bukan Islam. Sumbangannya itu tidak terbatas hanya kepada negara barat sahaja, malah menembusi pasaran Asia termasuklah Malaysia yang tidak terkecuali kerana Malaysia dianggap salah sebuah negara yang berpotensi dalam segala hal.

Kita tidak lupa rosaknya akhlak remaja di negara kita khasnya, adalah hasil hiburan yang mudah diperolehi, bermula di pawagam, pub-pub, internet, video-video lucah dan sebagainya yang memberi saham ke arah keruntuhan moral.

Fenomena ini merisaukan semua pihak, lebih-lebih lagi para ibu-bapa yang telah banyak mengeluarkan wang semata-mata untuk melihat agar anak mereka menjadi insan yang berguna pada satu hari nanti.

Tetapi dalam masa yang sama, mereka lupa persekitaran yang ada tidak mampu menjamin suasana yang baik. Kerana persekitaran itu dicipta oleh penguasa, pemerintah atau pemimpin. Sehubungan dengan itu, Islam telah menyatakan sikapnya iaitu "Rakyat bergantung kepada agama/pegangan pemimpin mereka".

Justeru, umat Islam khasnya di segenap pelusuk dunia, mesti bersedia untuk kembali kepada ajaran Islam tulen, iaitu mendalami ilmu Islam seperti Usuluddin dan Syari'ah, sejarah Islam seperti sejarah hidup Rasulullah s.a.w, para nabi, para sahabat, para 'ulamak serta tokoh-tokoh Islam.

Ini kerana semua maklumat tersebut dapat membantu daya tahan dalaman seseorang muslim, malah dapat menghilangkan krisis keyakian umat Islam terhadap agama mereka sendiri.






Perspektif Ikim: Ramadan sinonim bulan penyucian rohani, fizikal

Penjagaan kesihatan, kebersihan diri termasuk mengambil makanan halal jadi amalan

RAMADAN, bulan penuh dengan rahmat dan keampunan yang menyediakan pelbagai peluang baik, bukan saja untuk menyucikan diri daripada segala dosa malah juga memperbanyakkan amal kebajikan.

Di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia, Ramadan juga dapat mendidik Muslim untuk bersama membantu golongan daif agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik melalui bantuan yang dihulurkan. Dalam ajaran Islam, amalan ini akan meningkatkan lagi jumlah pahala mereka.


Bulan ini turut dimaklumi sebagai bulan yang penuh dengan pelbagai dugaan. Dalam hal ini, dugaan untuk melakukan amalan yang baik pada setiap masa dan sentiasa pula berusaha untuk mengekalkan pahala yang diperoleh itu juga sebenarnya lebih sukar lagi daripada dugaan menahan lapar dan dahaga.

Selain itu, dugaan bentuk baru yang melanda umat Islam ketika Ramadan tahun ini ialah merebaknya wabak H1N1. Penularan wabak yang tidak dijangka ini di kalangan manusia dikhuatiri akan menjadi lebih serius dalam bulan ini memandangkan mobiliti bebas di kalangan umat Islam yang secara tidak langsung memudahkan penularan virus wabak itu.

Di dalam bulan mulia ini, umat Islam akan berpusu-pusu mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa. Selain itu, pada malam hari, pelbagai lapisan umur masyarakat Islam akan mengunjungi surau dan masjid untuk bersolat Tarawih dan tazkirah secara berjemaah.

Ramai lagi di kalangan mereka bertumpu di pusat beli-belah bagi persediaan menyambut ketibaan Aidilfitri nanti. Walaupun kekhuatiran terhadap wabak ini melanda seluruh masyarakat dunia, perlu diingatkan juga bahawa khusus bagi umat Islam, fadilat Ramadan yang dihayati dan diamalkan sebaik mungkin pasti akan dapat membantu mereka menghindarinya.

Secara umumnya, antara sebab penularan penyakit selesema ini adalah berkaitan dengan sikap individu yang tidak prihatin dengan tahap penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.

Namun, aspek kebersihan ini amat diberi penekanan yang tinggi secara istimewa dalam bulan Ramadan.

Dalam erti kata lain, menyucikan diri mereka daripada segala dosa dan noda, manakala penyucian diri, sudah pasti merangkumi penyucian dan kebersihan fizikal, spiritual dan persekitaran.

Atas sebab itu, Ramadan itu amat sinonim sebagai bulan penyucian, dan memang tidak wajar jika aspek kebersihan dan kesucian itu diabaikan oleh setiap umat Islam yang berpuasa.

Etika penjagaan kesihatan dan kebersihan diri dalam Islam menuntut amalan seperti bersuci dengan air yang bersih lagi menyucikan, memakan hanya makanan yang halal, tidak membazir dan tidak berlebih-lebihan dalam setiap perkara.

Di bulan Ramadan ini, berlebihan ketika berbuka mahupun bersahur amatlah dilarang kerana ia mengundang pembaziran, bahkan jika berlaku pembaziran pula ia amatlah dikeji, manakala makanan yang tidak halal dan tidak suci akan membatalkan terus pahala puasa yang diperoleh dan menjadikannya sia-sia saja.

Amalan berdoa dan membasuh tangan sebelum dan selepas makan, menutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk dan ketika menguap serta sentiasa mencuci hidung dan muka sering dituntut demi memelihara kesucian dan kebersihan diri.

Begitu juga dalam ajaran Islam, apabila seseorang itu dihinggapi penyakit, amalan kebersihan tidak pernah diabaikan. Ini kerana dalam etika penjagaan kebersihan ketika wabak melanda dalam Islam adalah dengan mengasingkan diri daripada kelompok masyarakat agar ia tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain yang berhampiran kerana ia mampu mencemari kesucian dan kebersihan persekitaran lantas mengundang bencana.

Secara asasnya, sesuatu penyakit itu tidak akan berjangkit jika tiada penghidapnya atau mereka yang berpenyakit itu tidak menjangkitkan kepada orang lain dengan apa cara sekalipun.

Huraian ini adalah bagi menggambarkan fadilat Ramadan dalam menghalang penularan H1N1. Ia juga sebenarnya adalah perkara asas yang perlu diselami dan diamalkan setiap umat Islam. Oleh itu, di sepanjang Ramadan ini, majlis tazkirah yang diadakan selepas solat tarawih perlu turut membincangkan situasi semasa yang sedang melanda ini.

Institusi agama pula, khususnya yang berkaitan dengan kemaslahatan hal ehwal orang Islam seperti Majlis Fatwa Kebangsaan perlu turut serta memberikan panduan bagi kesejahteraan umat Islam dalam menjalani aktiviti Ramadan atau Haji ketika wabak seperti ini. Memandangkan jumlah kematian akibat H1N1 ini ada peningkatan saban hari, semua lapisan masyarakat wajar bekerjasama antara satu sama lain bagi mengawal keadaan.





Pakar perubatan akui puasa kaedah terbaik rawat penyakit

HIKMAT berpuasa secara tidak langsung dapat memberikan faedah besar terhadap kesihatan tubuh. Waktu rehat yang diberikan kepada saluran pemakanan dalam tempoh sebulan cukup untuk meregang dan melegakan bahagian penghadaman itu. Dalam erti kata lain mengembalikan kekuatan dan kecergasannya pada waktu selepas berlalu Ramadan.

Puasa memberikan kerehatan kepada setiap manusia yang melakukannya selain turut menjadi benteng kepada pelbagai penyakit yang menyerang tubuh manusia. Penyakit yang nyata berjaya dihindari dengan melakukan ibadah ini ialah sakit perut, obesiti, pertambahan kolesterol, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Apabila merujuk Hippocrate yang bergelar Bapa Perubatan Greek, beliau turut menggunakan puasa sebagai kaedah perubatan pada hari pertama pesakitnya mendapatkan rawatan. Beliau juga menyifatkan kepelbagaian rawatan yang dihasilkan daripada puasa amat sesuai dengan setiap penyakit.


Pakar perubatan Arab, Dr Umayyah Lahud dalam bukunya menjelaskan: “Saya sering melakukan kajian kepada pelajar yang berpuasa, hanya dalam tempoh singkat mereka dapat menambahkan kemampuan dari aspek penghasilan idea. Ini menjadikan mereka pelajar yang mampu menggunakan segala kemampuan akal untuk menguasai pelajaran. Ini hasil daripada puasa yang menjadikan tubuh merangsang asid yang menolak segala toksin. Seterusnya menjadikan sel darah kembali normal dan bersih daripada segala zat yang diperoleh dari pemakanan harian, manakala pengaliran darah ke otak lebih lancar.”

Tidak diragukan lagi puasa ini adalah tanda kekuasaan Allah yang mensyariatkan kepada kita ibadah amat bermanfaat. Pakar perubatan lain turut mengutamakan teknik berpuasa bagi pesakit mereka berbanding pemberian ubat atau rawatan lain.

Allamah Rasyid Ridha penulis Tafsir al-Manar menjelaskan pengakuan beberapa pakar perubatan Eropah yang mengakui dengan berpuasa sebulan Ramadan mampu menyingkirkan sel tambahan yang mati atau tidak berfungsi dalam badan seseorang individu itu.

Apa yang menghairankan, di negara kita, didapati majoriti yang menyambut bulan mulia ini dengan ‘menyerbu’ ke bazar Ramadan sehingga kos perbelanjaan makanan bulan ini meningkat. Peniaga pula mengambil kesempatan meningkatkan harga barangan keperluan hatta gula mulai disorok bagi menjadikan harga di pasaran melambung tinggi. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim ada menyebutkan: “Siapa yang menyorok barang keperluan, dia adalah seorang yang berbuat maksiat.”

Kewujudan pasar Ramadan menjadikan seolah-olah bulan puasa adalah ‘pesta makanan’. Segala makanan yang muncul dibeli oleh pelanggan untuk dihidangkan kepada keluarga, maka bertambahlah ‘penyakit’ lain dari aspek fizikal sama ada penyakit obesiti, diabetes, darah tinggi dan jantung. Penyakit hati yang timbul pula seperti tamak, tidak sabar atau gelojoh, kedekut dan mementingkan diri tetap bersarang di jiwa.

Apabila mereka merujuk hospital akibat penyakit dihidapinya, pasti banyak penyakit itu berpunca daripada perut yang kekenyangan. Allah berfirman: “Makan dan minumlah kamu sekalian dan jangan kamu membazir.”

Ayat ini jelas menerangkan keharusan makan dan minum bagi setiap manusia, tetapi pada akhirnya turut melarang berlebihan dan membazir. Ulama menyatakan, dalam ayat yang ringkas itu Allah Taala mengumpulkan rahsia perubatan untuk semua perkara kepada diri manusia.

Kaum terdahulu turut melarang mengambil makanan dan minuman melampaui batasan keperluan. Luqman al-Hakim pernah mengingatkan kepada anaknya: “Wahai anakku! Seandainya perut dipenuhi makanan, akan tidurlah akal fikiran, tergendala segala hikmah dan lumpuhlah anggota badan untuk beribadah.”

Justeru, setiap Muslim perlu menggunakan kesempatan terbaik ini bagi membetulkan kesilapan mereka pada masa lalu. Khidmat percuma ini didatangkan Allah dengan penuh nikmat kepada setiap hamba-Nya. Tidak perlu kita merosakkan puasa ini dengan membanyakkan makan minum sehingga membawa pembaziran.

Pesan Imam Muhammad al-Hasan al-Syaibani: “Pembaziran makanan itu adalah makan dengan banyak sehingga melampaui rasa kenyang. Termasuk juga pembaziran adalah memperbanyakkan juadah dan kepelbagaian jenisnya. Bahkan dikirakan pembaziran juga apabila diletakkan dalam hidangan itu pelbagai ragam makanan melebihi keperluan yang sepatutnya.”





Solat benteng kekuatan iman, elak maksiat

SOLAT lima waktu adalah tiang agama wajib dikerjakan setiap Muslim yang mengaku dirinya hamba Allah. Seseorang yang meninggalkan solat bererti mereka bukan saja menderhaka kepada Allah, malah benteng keimanan individu terbabit dalam keadaan cukup lemah.

Mengerjakan solat dengan sempurna dapat membentuk pengukuhan iman sejati, sekali gus terselamat daripada melakukan maksiat kepada Allah. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu untuknya akan menjadi cahaya, petunjuk dan jaminan selamat pada hari akhirat. Sesiapa tidak memelihara solatnya, maka tidak mempunyai cahaya, petunjuk dan jaminan selamat, bahkan pada hari kiamat dia akan bersama-sama dengan Karun, Firaun, Hamman serta dengan Ubay bin Khalaf.”

Seseorang yang meninggalkan solat, mereka akan menanggung bala bukan saja di dunia, malah pada saat kematian, di alam kubur dan juga di akhirat.


Bala diterima di dunia bagi mereka yang meninggalkan solat:

Allah akan menghilangkan berakah dari setiap rezeki diperoleh;

Allah mencabut cahaya orang salih daripada dirinya;

Dia akan dibenci oleh orang beriman.

Bala ketika saat meninggal dunia:

Roh akan dicabut ketika dalam keadaan dahaga, walaupun sudah meminum air dari seluruh sungai;

Kesakitan luar biasa ketika rohnya dicabut; Dia dikhuatirkan kehilangan iman.

Bala di dalam kubur:

Takut terhadap pertanyaan malaikat Mungkar dan Nakir;

Kubur menjadi gelap gelita, sempit sehingga tulang rusuknya bersatu;

Bala di akhirat:

Hisab menjadi berat;

Dimurkai Allah SWT;

Diseksa Allah SWT dengan api neraka.

Demikianlah bala yang menanti bagi mereka meninggalkan solat lima waktu.




menjaga keseimbangan puasa

Menjaga keseimbangan puasa

AMALAN berpuasa bukan hanya berkisar kepada sudut rohaniah, malahan didapati mempunyai kesan positif terhadap fizikal badan. Bukan setakat memberi peluang sistem penghadaman berehat, malahan membolehkan metabolisma badan menurun dan kembali seimbang dengan keperluan badan.

Namun, menahan diri daripada lapar dan dahaga lebih 13 jam sehari memerlukan kita menjaga keseimbangan tenaga badan dan aktiviti harian. Kerana itu juga, amalan bersahur dan tidak melengahkan waktu berbuka digalakkan, supaya keperluan nutrien dan tenaga badan tidak terjejas sepanjang berpuasa.

Air

Lebih 60 peratus (dua pertiga) struktur badan manusia dibina daripada air, elemen utama kehidupan. Berbanding nutrien lain yang diperlukan untuk tenaga badan, air merupakan satu keperluan asas yang diperlukan untuk badan terus berfungsi.

Kekurangan air badan (dehidrasi) boleh menjejaskan kesihatan dan juga mengancam nyawa bagi situasi kehilangan air berlaku secara berterusan (seperti muntah dan cirit-birit) .

Untuk memastikan badan mempunyai bekalan air secukupnya sepanjang waktu berpuasa, kita perlu menilai keperluan badan berdasarkan aktiviti harian, kesihatan diri dan juga cuaca.

Mereka yang kurang sihat, banyak melakukan aktiviti fizikal (berjalan, berlari) atau meredah cuaca panas memerlukan lebih banyak air dari biasa. Amalkan bersahur supaya dapat minum air secukupnya sebelum mula berpuasa.

Dehidrasi juga boleh berlaku akibat pengambilan kafein dan ubat tertentu, masalah sistem penghadaman, banyak berpeluh dan juga kandungan gula di dalam darah yang tinggi (diabetes). Adalah lebih baik mengamalkan pengambilan air kosong berbanding minuman berkafein, serta mendapatkan nasihat doktor mengenai ubat yang mungkin memberi kesan kepada kandungan air badan.

Kekejangan

Antara kesan dehidrasi dan terlalu banyak aktiviti fizikal di siang hari adalah kekejangan otot. Kekejangan otot juga tidak terhad kepada otot kaki, malahan otot leher, belakang, perut dan sebagainya.

Kebiasaannya, kekejangan otot bukan sahaja akibat kekurangan air, tetapi juga melibatkan kekurangan oksigen, pengumpulan asid laktik serta kandungan sodium dan potasium darah yang rendah.

Kekejangan otot dapat dielakkan dengan pengambilan air serta garam galian yang cukup, terutamanya makanan yang tinggi dengan potasium. Bernafas dengan laju pula dikatakan dapat meredakan kekejangan akibat kurang oksigen dan pengumpulan asid laktik pada otot.

Urutan lembut, regangan serta menggunakan sesuatu yang suam atau sejuk juga mungkin dapat membantu. Haba dapat meningkatkan aliran darah permukaan, menjadikan otot lebih fleksibel dan mengurangkan rasa kejang.

Tekanan atau urutan kuat pada otot yang kejang pula hanya akan memburukkan lagi keadaan. Menggunakan sesuatu yang terlalu panas atau terlalu sejuk juga boleh membawa kepada kekejangan otot.

Asas yang ingin ditekankan di sini adalah pengambilan air secukupnya mengikut aktiviti fizikal, kesihatan badan dan cuaca. Elakkan berlakunya kekejangan mahupun mana-mana masalah kesihatan akibat kekurangan air atau nutrien keperluan badan.

Amalkan bersahur dan berhemah ketika berbuka.. Jangan tidur dijadikan alasan tidak bersahur dan jangan puasa dijadikan alasan 'membalas dendam' ketika berbuka. Jagalah keseimbangan berpuasa, mengikut keperluan agama dan juga badan.

Selamat berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-52.





suami berubah bila jadi kaya

Suami berubah bila dah kaya

SEBELUM saya berbicara lebih lanjut saya ingin bertanya kepada pembaca wanita khususnya, adakah anda mencari suami yang taraf pendidikannya sama dengan anda atau anda menerima seadanya? Jika anda belum berkahwin, fikirkan sepuluh kali. Biasanya wanita menerima suami seadanya, tetapi suami zaman sekarang memilih isteri yang boleh memberi keuntungan dan memberi faedah kepadanya.. Bukan mereka sahaja, malah keluarga mereka juga berpandangan demikian.

''Kalau boleh mereka mahukan menantu perempuan yang ada segala-galanya yang boleh memberikan kesenangan dan tidak menyusahkan anak lelaki mereka, misalnya ada kereta, rumah dan pekerjaan yang baik.'' Demikian cerita Khalida dalam e-melnya.

''Saya katakan demikian berdasarkan pengalaman sendiri dan melihat di kalangan kawan-kawan wanita sepejabat dengan saya.. Mereka juga mempunyai pandangan yang sama. Kalau boleh suami mahu melepaskan semua tugas hakikinya kepada isteri untuk laksanakan, sementara dia bebas menyenangkan dirinya sendiri.

''Dulu masa mula berkahwin saya tahu taraf pendidikan dan pendapatan suami saya Zainoor, cuma seorang kerani, sementara saya walaupun seorang guru tetapi berijazah. Biarpun saya tahu kedudukannya, tetapi saya yakin kebaikan, dedikasi dia dalam bekerja di samping pandai menjalankan perniagaan sambilan boleh bahagiakan kami.

''Saya lihat dia cukup rajin berusaha, kerana itu saya yakin dia boleh menjadi ayah yang baik kepada anak-anak kami nanti. Hasrat saya tercapai hinggalah usia perkahwinan kami mencecah 12 tahun dan kami mempunyai 4 orang anak.

''Syukur kepada Allah kerana hidup kami cukup bahagia. Tambahan pula ketika itu Zainoor telah berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan atas dorongan saya, sementara saya sendiri telah naik pangkat menjadi guru besar.

''Berkat usaha dan persefahaman kami suami isteri, kami berjaya memiliki 3 buah rumah dan dua buah kereta untuk memudahkan kami bekerja.

''Sebenarnya bukan mudah memimpin suami menjadi berjaya, saya mengeluarkan wang simpanan yang banyak sebagai modal untuk menggalakan dia berniaga pada awalnya. Malangnya ketika itu kerana sayangkan suami dan ikhlas untuk membantunya, saya tidak pernah meminta balik duit yang dijadikan modal dia berniaga.

''Sebaliknya saya nasihatkan dia supaya menambah modal lebih banyak lagi supaya perniagaan dapat berjalan lancar tanpa tertangguh kerana ketiadaan modal. Pendek kata sejak lima tahun melihatkan diri dalam perniagaan sepenuh masa, hidup kami memang boleh dikatakan senang juga.

''Malangnya, saya terlupa melihat perubahan suami saya, setiap kali keluar malam saya yakin bila dia kata jumpa kontek dan rakan perniagaan. Katanya berniaga mesti banyak kontek, barulah berjaya, kalau boleh ikut cara orang Cina berniaga mereka ramai kawan, yang boleh bertukar fikiran dan meminta nasihat kalau perlu.

''Tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, dia sudah mula pandai balik rumah hingga subuh. Saya dek kerana terlalu sayang dan percaya, tidak pernah terfikir dia boleh memusnahkan harapan saya dengan bercinta lagi.

''Satu malam dia balik awal lepas makan malam dia meluahkan hasrat hatinya ingin berkahwin lagi. Nak pengsan saya. Hancur semua harapan, hilang sudah kepercayaan saya terhadapnya selama ini. Sebulan kami berperang, habis tu saya lancarkan perang dingin, harapan saya supaya dia ingat kepada janji kami dan segala pertolongan saya kepadanya selama ini, dan menjadikan dia dirinya sekarang..

Bercinta

''Tapi orang tengah bercinta segala nasihat tidak didengar lagi, dia tetap ingin berkahwin dengan kekasihnya seorang wanita bekas pelayan kelab malam, berstatus janda anak tiga lima tahun lebih tua daripada saya.

''Saya rasa tidak ramai isteri yang sanggup bermadu dengan rela. Saya minta pendapat keluarga, memang tidak ada yang setuju, ibu saya yang tua dan uzur menyerahkan segalanya kepada saya, dan dia tidak menghalang kalau saya bercerai. Kerana ibu tahu besarnya pengorbanan saya menjadikan suami saya dengan kedudukannya hari ini. Dan ibu amat kesal kerana pengorbanan saya selama ini tidak dihargai.

''Kerana permintaannya di bantah, dia jadi seorang peminum dan jarang-jarang balik ke rumah. Dia bukan lagi suami saya yang saya kenal dulu. Akhirnya saya terpaksa memberi kata dua kepada suami saya untuk melepaskan saya. Dua bulan lamanya dia membuat keputusan dan seterusnya dia meninggalkan rumah dan pindah ke rumah baru dengan wanita tersebut bersama anak-anaknya.

''Apa yang saya kesalkan sudahlah suami buat saya sedemikian rumah, adik beradiknya ikut memfitnah suami saya bahawa saya tidak hebat dirajang, terlalu sibuk bekerja, selalu berkursus dan paling menyakitkan hati bila dia menuduh saya membodohkan dirinya selama ini kerana mengikut cakap saya.

''Pada saya tuduhan membomohkan dia memang fitnah, siapa dia? Dia cuma kerani asalnya, kalau saya pandai cari bomoh lebih baik saya bomohkan jutawan atau pegawai tinggi kerajaan supaya kahwin dengan saya bukan dia! Kejayaan dia dalam perniagaan sekarang pun hasil modal saya kalau tidak hingga kini dia masih kerani lagi. Memang dasar tak sedar diri!

''Lebih pelik mengapa selepas 13 tahun berkahwin baru timbul isu bomoh? Sepatutnya saya tuduh suami saya yang bomohkan saya, kerana mahu berkahwin dengan dia cuma seorang kerani sedangkan saya ada izajah.

''Sesungguhnya Allah Maha Besar. Baru setahun berkahwin, hidupnya mula berantakan, sudahlah duitnya dikongkong oleh isteri barunya, nak jumpa anak-anak sendiri pun disekat. Sehinggakan telefon bimbitnya pun dikawal rapi.

''Namun saya tidak kisah saya mampu memberikan yang terbaik kepada anak-anak saya. Syukur kepada Allah anak-anak saya dapat keputusan yang terbaik dalam peperiksaan tahunan mereka. Hakikatnya perceraian kami sedikit pun tidak mengganggu pelajaran mereka, malah saya lihat hidup mereka lebih ceria lagi. Dengar cerita belum sampai dua tahun berkahwin bekas suami saya sudah jadi kaki hutang.

''Kini hidup saya lebih bahagia. Benarlah kata orang, kekayaan belum tentu menjadikan kita bahagia. Kini hati dan fikiran saya lebih tenang, tak perlu melihat jam pukul berapa suami balik. Tak perlu terkejar-kejar siapkan makanan bila suami balik, kini saya lebih bahagia hidup bersama anak-anak. Biarlah dia bahagia bersama anak-anak tiri dan isteri barunya, di situ mungkin dia lebih bahagia daripada dengan anak-anaknya sendiri.

''Bukan niat berdendam tetapi bila segala pergorbanan tidak dihargai, tiada gunanya bertahan dan berpura-pura bahagia. Saya ambil langkah tepat untuk membahagiakan diri dan anak-anak saya. Bukan menderita menunggu suami yang sudah lupa diri.

''Kepada kaum hawa di luar sana, saya ingin berpesan, anda tidak perlu berasa lemah jika ditinggalkan suami kerana Allah yang mengatur segala kehidupan kita. Tentunya ada hikmah yang tersembunyi di sebalik segala yang berlaku. Anda bukan perempuan malang. Tetapi anda terpilih untuk melalui ujian-Nya.'' Demikian cerita Khalida panjang lebar untuk menjadi teladan anda.

Yakinlah setiap apa yang berlaku ada hikmahnya, Terpulang kepada anda mentafsirkan tetapi kalau tidak yakin anda boleh berdikari, sabar dan telanlah atas apa yang berlaku.