Penjagaan kesihatan, kebersihan diri termasuk mengambil makanan halal jadi amalan
RAMADAN, bulan penuh dengan rahmat dan keampunan yang menyediakan pelbagai peluang baik, bukan saja untuk menyucikan diri daripada segala dosa malah juga memperbanyakkan amal kebajikan.
Di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama manusia, Ramadan juga dapat mendidik Muslim untuk bersama membantu golongan daif agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik melalui bantuan yang dihulurkan. Dalam ajaran Islam, amalan ini akan meningkatkan lagi jumlah pahala mereka.
Bulan ini turut dimaklumi sebagai bulan yang penuh dengan pelbagai dugaan. Dalam hal ini, dugaan untuk melakukan amalan yang baik pada setiap masa dan sentiasa pula berusaha untuk mengekalkan pahala yang diperoleh itu juga sebenarnya lebih sukar lagi daripada dugaan menahan lapar dan dahaga.
Selain itu, dugaan bentuk baru yang melanda umat Islam ketika Ramadan tahun ini ialah merebaknya wabak H1N1. Penularan wabak yang tidak dijangka ini di kalangan manusia dikhuatiri akan menjadi lebih serius dalam bulan ini memandangkan mobiliti bebas di kalangan umat Islam yang secara tidak langsung memudahkan penularan virus wabak itu.
Di dalam bulan mulia ini, umat Islam akan berpusu-pusu mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa. Selain itu, pada malam hari, pelbagai lapisan umur masyarakat Islam akan mengunjungi surau dan masjid untuk bersolat Tarawih dan tazkirah secara berjemaah.
Ramai lagi di kalangan mereka bertumpu di pusat beli-belah bagi persediaan menyambut ketibaan Aidilfitri nanti. Walaupun kekhuatiran terhadap wabak ini melanda seluruh masyarakat dunia, perlu diingatkan juga bahawa khusus bagi umat Islam, fadilat Ramadan yang dihayati dan diamalkan sebaik mungkin pasti akan dapat membantu mereka menghindarinya.
Secara umumnya, antara sebab penularan penyakit selesema ini adalah berkaitan dengan sikap individu yang tidak prihatin dengan tahap penjagaan kesihatan dan kebersihan diri.
Namun, aspek kebersihan ini amat diberi penekanan yang tinggi secara istimewa dalam bulan Ramadan.
Dalam erti kata lain, menyucikan diri mereka daripada segala dosa dan noda, manakala penyucian diri, sudah pasti merangkumi penyucian dan kebersihan fizikal, spiritual dan persekitaran.
Atas sebab itu, Ramadan itu amat sinonim sebagai bulan penyucian, dan memang tidak wajar jika aspek kebersihan dan kesucian itu diabaikan oleh setiap umat Islam yang berpuasa.
Etika penjagaan kesihatan dan kebersihan diri dalam Islam menuntut amalan seperti bersuci dengan air yang bersih lagi menyucikan, memakan hanya makanan yang halal, tidak membazir dan tidak berlebih-lebihan dalam setiap perkara.
Di bulan Ramadan ini, berlebihan ketika berbuka mahupun bersahur amatlah dilarang kerana ia mengundang pembaziran, bahkan jika berlaku pembaziran pula ia amatlah dikeji, manakala makanan yang tidak halal dan tidak suci akan membatalkan terus pahala puasa yang diperoleh dan menjadikannya sia-sia saja.
Amalan berdoa dan membasuh tangan sebelum dan selepas makan, menutup hidung dan mulut ketika bersin atau batuk dan ketika menguap serta sentiasa mencuci hidung dan muka sering dituntut demi memelihara kesucian dan kebersihan diri.
Begitu juga dalam ajaran Islam, apabila seseorang itu dihinggapi penyakit, amalan kebersihan tidak pernah diabaikan. Ini kerana dalam etika penjagaan kebersihan ketika wabak melanda dalam Islam adalah dengan mengasingkan diri daripada kelompok masyarakat agar ia tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain yang berhampiran kerana ia mampu mencemari kesucian dan kebersihan persekitaran lantas mengundang bencana.
Secara asasnya, sesuatu penyakit itu tidak akan berjangkit jika tiada penghidapnya atau mereka yang berpenyakit itu tidak menjangkitkan kepada orang lain dengan apa cara sekalipun.
Huraian ini adalah bagi menggambarkan fadilat Ramadan dalam menghalang penularan H1N1. Ia juga sebenarnya adalah perkara asas yang perlu diselami dan diamalkan setiap umat Islam. Oleh itu, di sepanjang Ramadan ini, majlis tazkirah yang diadakan selepas solat tarawih perlu turut membincangkan situasi semasa yang sedang melanda ini.
Institusi agama pula, khususnya yang berkaitan dengan kemaslahatan hal ehwal orang Islam seperti Majlis Fatwa Kebangsaan perlu turut serta memberikan panduan bagi kesejahteraan umat Islam dalam menjalani aktiviti Ramadan atau Haji ketika wabak seperti ini. Memandangkan jumlah kematian akibat H1N1 ini ada peningkatan saban hari, semua lapisan masyarakat wajar bekerjasama antara satu sama lain bagi mengawal keadaan.
No comments:
Post a Comment